Video https://youtu.be/apc4737ME20
Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2019 pada 3/12/2019
Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2019 pada 3/12/2019
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya juga turut ingin menyertai perbahasan Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2019. Seperti yang kita maklum, terdapat kira-kira 6,000 orang ahli yang terdiri daripada komposer, penulis lirik, artis syarikat penerbitan dan syarikat rakaman yang terlibat dalam industri muzik ini.
Maka, apabila kita membuat pelantikan terhadap Music Rights Malaysia (MRM) untuk kutipan royalti muzik, sebenarnya kutipan ini dibuat lebih kurang kepada 50,000 buah syarikat berdaftar kemudian diagihkan kepada empat pertubuhan iaitu MACP, PPM, RPM dan PRISM pada kadar yang dipersetujui. Industri ini besar dengan 50,000 buah syarikat, dengan 6,000 ahli yang terlibat dalam industri muzik.
Saya melihat pindaan terhadap Rang Undang-undang Hak Cipta ini sebenarnya ia ingin memperluaskan kuasa Tribunal Hak Cipta. Dukacita saya mendengar bahawa walaupun telah ditubuhkan Tribunal Hak Cipta pada tahun 2012, tetapi sampai hari ini satu kes pun tidak didengar maka kita perlu membuat satu semakan apa pun overhaul terhadap fungsi kuasa dan juga terhadap Tribunal Hak Cipta. Ini kerana sebenarnya kuasa Tribunal Hak Cipta ini terhad dan tiada platform alternatif selain Mahkamah Sivil untuk merujuk pertikaian melibatkan antara badan pelesenan dan anggotanya. Kita, dengan pendedahan ini membolehkan badan pelesenan iaitu MRM dan juga anggotanya boleh merujuk kepada Tribunal Hak Cipta.
Saya lihat kalau kita boleh pecah kosong terhadap kes Tribunal Hak Cipta ini ada banyak rungutan seperti tadi Yang Berhormat Rasah, kawan saya Yang Berhormat Rasah telah menyebut tentang rungutan terhadap daripada syarikat-syarikat. Saya sendiri telah menerima rungutan daripada Entertainment Association of Johor. Saya bukan wakil rakyat dari Johor, saya wakil Penang. Akan tetapi, kita punya network jauh.
Entertainment Association of Johor telah memberitahu saya yang merupakan payung mewakili Operator Karaoke Disco Entertainment dan Lounges Entertainment Association ini memberitahu saya bahawa royalti yang dikutip oleh MRM ini kadarnya tinggi dan memberikan tekanan kewangan terhadap ahli-ahli di bawah entertainment association.
Maka, dalam tiada bidang kuasa di bawah Tribunal Hak Cipta ini untuk mendengar kes- kes antara entertainment association, antara syarikat-syarikat berdaftar dengan MRM. Hanya kita hari ini kita hanya membesarkan bidang kuasa antara badan pelesen iaitu MRM dengan ahli- ahlinya iaitu komposer, penulis lirik, ahli-ahli muzik dan tiada bidang kuasa untuk mendengar atau membuat semakan terhadap kadar royalti yang tinggi ini. Hari ini, saya juga menerima maklum balas daripada Entertainment Association of Johor bahawa yang selain daripada royalti yang tinggi ini dan jarang ada mesyuarat antara MRM dengan entertainment association.
Oleh itu, masalah-masalah yang timbul yang didapati bahawa syarikat-syarikat berdaftar yang perlu menjalankan entertainment outlet ini mereka tiada saluran secara berkala untuk membawa masalah mereka sama ada kepada kementerian atau kepada badan pelesenan seperti MRM. Oleh itu mereka membawa kepada saya sebagai wakil rakyat untuk membawa isu yang mereka hadapi. Kutipan tarif royalti yang tinggi yang membebankan dan tiada avenue untuk dibawa Tribunal Hak Cipta ini untuk didengar kes.
Oleh itu, kita dengar tadi tidak ada satu kes pun di dengar di Tribunal Hak Cipta sejak penubuhannya daripada tahun 2012 sampai sekarang. Harap kita boleh melihat kembali kepada rang undang-undang ini dan memberikan tambahan kuasa terhadap rang undang-undang ini. Di samping ini, saya juga ingin membangkitkan beberapa isu tentang berbangkitkan dan bersangkutan kerana apabila kita ingin melihat sebelum beberapa bulan kita telah membuat pindaan terhadap Rang Undang-undang Cap Dagangan di bawah kementerian yang sama.
Saya ingin mendapat status apakah Rang Undang-undang Cap Dagangan sama ada Madrid Protocol ini adalah dipatuhi dan telah disertai? Begitu juga apabila saya bangkitkan pada perbahasan saya pada Rang Undang-undang Cap Dagangan, saya telah membangkitkan bilakah kita membuat pindaan terhadap Akta Reka Bentuk Perindustrian yang supaya untuk mematuhi the head protocol yang sampai bila kita belum lagi menyertai protokol berkenaan dan saya juga meminta kementerian untuk mengemas kini undang-undang harta intelek (intellectual property) di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia sama ada pattern sama ada reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi ataupun reka bentuk susur atur litar kita untuk melihat bagaimana kita hendak ingin lagi melindungi harta intelek.
Kita juga perlu melihat balik kepada semua akta-akta berkenaan termasuk juga Undang- undang Hak Cipta kerana melibatkan satu tugas yang kompleks apabila Undang-undang Hak Cipta bagaimana kita boleh memenuhi cabaran dunia digital. Bagaimana kita dapat isu-isu seperti cloud computing dan isu-isu seperti Internet service provider for copyright infringement. Undang- undang Hak Cipta perlu mencari satu keseimbangan antara competing interest pada satu pihak ialah copyright holders seperti penulis lirik, seperti pemuzik dan sebagainya dan pada satu pihak lagi ialah orang awam (public).
Oleh itu, Tribunal Hak Cipta boleh memainkan peranan yang lebih aktif, di sesuatu pihak ahli-ahli muzik, ahli-ahli seni, pemegang-pemegang hak cipta dan pada satu pihak lagi orang awam. Bagaimana kita boleh mengimbangkan competing interest antara kesemua pihak ini? Oleh itu, tadi saya menyebut tentang bahawa MRM dan juga empat organisasi ini. Sebenarnya, ia lebih merujuk kepada monopolistic dengan kumpulan yang tertentu sahaja.
Saya ingin menjemput kementerian untuk melihat kepada model-model negara lain. Lihat mengkaji model-model negara lain untuk memperbaiki terhadap Tribunal Hak Cipta kita dan memperbaiki terhadap Undang-undang Hak Cipta kita khasnya untuk di satu pihak melindungi kepentingan pemuzik-pemuzik dan satu pihak untuk melindungi dan memberikan kebaikan kepada orang awam dan juga menjaga kebajikan syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri berkenaan.
Saya lihat undang-undang-undang ini sebenarnya ringkas sahaja untuk meningkatkan Tribunal Hak Cipta dan saya ingin melihat kepada lebih banyak pembaharuan dalam aspek pelindungan hak harta intelek ini. Oleh itu, saya mohon menyokong.
No comments:
Post a Comment